Pada hari
Ahad, 18hb. Januari 2009 bertempat di Penang Golf Resort, Bertam, Kepala Batas,
Pulau Pinang telah berlangsung satu majlis penuh adat-istiadat Melayu iaitu Majlis
Penganugerahan Sandang dan Bengkung Kegurulatihan Pertubuhan Silat Seni Gayong Negeri
Pulau Pinang.
Majlis yang berlangung dari jam 2.15 hingga 5.00
petang itu dan dihadiri oleh lebih 150 orang jemputan khas telah disempurnakan
oleh Yang Berbahagia Dato’ Zainal Abidin Osman, Penasihat Kementerian Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merangkap Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal.
Pertubuhan Silat Seni Gayong Daerah-Daerah (SPU,
SPT, SPS, TIMUR LAUT, BARAT DAYA) di negeri Pulau Pinang telah didaftarkan
semula dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dibawah Akta Pembangunan Sukan
1997.
Sehubungan dengan itu pihak Jawatankuasa Gabungan
telah berusaha mengatur strategi dan merancang aktiviti bagi menggerak serta mengiatkan
semula aktiviti Silat Seni Gayong di negeri Pulau Pinang.
Selain daripada bertujuan memperkenalkan semula
serta mempromosi Silat Seni Gayong di negeri Pulau Pinang diantara objektif
utamanya ialah untuk menyediakan platform bagi menjana aktiviti sihat
dikalangan golongan remaja dan belia disamping meneruskan kesinambungan
khazanah warisan bangsa. Adalah juga menjadi harapan pihak jawatankuasa agar
Silat Seni Gayong dan lain-lain Silat Melayu menjadi salah satu wadah perpaduan
orang-orang Melayu.
Pada Majlis tersebut, tujuh orang pemimpin
masyarakat Pulau Pinang yang terdiri daripada ahli politik dan tokoh korporat
telah dianugerahkan Sandang Kehormat Mahkota Bintang Pelangi:
· YBhg Dato’ Zainal Abidin Osman
· YB Tn Hj Muhamad Farid Saad
· YBhg Dato’ Abdul Rahim Saibu
· YB Dato’ Roslan Saidin
· YBhg Dato’ Helmi Rashid
· YB Dato’ Mahmud Zakaria
· YBsh En Mohd Nadzir Hj Mansor
Sandang-sandang kehormat telah disampaikan oleh
Yang Di Hormati Toh Kohor Alam Brigadier Jeneral (B) Dato’ Hj Ahmad Fuad Bin Hj
Harun, Orang Besar 32, Negeri Perak Darul Ridzwan.
Sandang-sandang Waris Beradat dikurniakan kepada
dua belas orang murid-murid lama Silat Seni Gayong Pulau Pinang yang membentuk
Lembaga Waris Beradat Negeri dan Bengkung serta Sandang Kegurulatihan
dianugerahkan kepada lima belas orang Gurulatih dan Jurulatih lama dan baru
yang membentuk Majlis Gurulatih Negeri.
Sandang Waris Beradat disampaikan oleh YBhg Pn Hjh
Fadhilah Bt Dato’ Meor Abdul Rahman yang merupakan waris Allahyarham Dato’
Mahaguru dan Sandang serta Bengkung Kegurulatihan disampaikan oleh Yg Bsh Cikgu
Ahmad Ismail, Gurulatih Utama Silat Seni Gayong.
Cikgu Ahmad Ismail turut menerima Bengkung
Kegurulatihan tertinggi didalam Silat Seni Gayong iaitu Bengkung Hitam Harimau
Pelangi Cula Sakti (Cula VI) daripada Pn Hjh Fadhillah.
Selain
daripada itu, bagi mengenang jasa-jasa beliau didalam mengembangkan Silat Seni
Gayong di seluruh negara khususnya di Pulau Pinang, Cikgu Ahmad Ismail telah di
hadiahkan sebilah keris berlok tujuh, berpamor Beras Wutah, berwarangka Jogja
dari Jawa Timur.
No comments:
Post a Comment