Silat Seni Gayong
Malaysia secara rasminya mula bertapak di Pulau Pinang pada tahun 1966, ketika
itu ia dibawa oleh anak murid Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman. Murid
tersebut adalah YBhg. Guru Lama Ahmad Ismail atau dikenali Cikgu Mat Jepun atau
Singa Putih. Sebelum itu, kekanda Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman iaitu
Allahyarham Meor Aziz pernah menetap di Seberang Perai kerana bekerja dengan
pihak kastam. Pada ketika itu beliau lebih mengajar ilmu tenaga dalaman.
Gelanggang pertama yang dibuka adalah di Permatang Tinggi C dan kemudian beralih
ke Paya Keladi hingga sekarang. Pada tahun 1970-an gelanggang Silat Seni Gayong Malaysia yang
pertama di sekolah dibuka adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, yang
mana sekarang telah dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad
Badawi. Seterusnya di Sekolah Menengah
Sains Bukit Mertajam. Tarikh penubuhan PSSGM Bahagian Negeri Pulau Pinang
(PSSGM PP) adalah 8hb Julai 1990 bersamaan 15 Zul Hijjah 1410. Ketika ini YDP
PSSGM PP adalah Allahyarham En. Amat Hassan dan setiausahanya En. Mohd Mamsim
Anor Kassim. Perasmian PSSGM PP ini dibuat di rumah rehat bukit Mertajam
(Berhadapaan SM Convert BM). Kemudian pentadbiran PSSGM PP di terajui oleh
Allahyarham Cikgu Yackop Alma.
Setelah masuk abad baru, gelanggang
awam Silat Seni Gayong Malaysia hanya beroperasi di Paya Keladi, Alma dan Relau
sahaja. Rentak aktivitinya menjadi perlahan dan lemah. Ini kerana kebanyakan
pelapis tenaga pengajar berhijrah ke tempat lain atas urusan kerja dan
menyambung pengajian. Pada tahun 2006, Silat Seni Gayong di Pulau Pinang
kembali bernadi dengan wujudnya sebuah gelanggang Silat Seni Gayong Malaysia di
Taman Haji Abdullah Fahim yang hingga sekarang aktif menganjurkan aktiviti dan
menyemarakkan kembali semangat ‘Gayong’ di kalangan ahli Silat Seni Gayong Malaysia
di Pulau Pinang.
Pada tahun 2014, PSSG tiga daerah telah diarahkan oleh PSSGM (APS) pusat untuk membentuk pentadbiran negeri yang baru. Maka satu mesyuarat agong PSSGM PP telah diadakan di hotel Sri Malaysia dan En. Mahmad Toher Saad telah dilantik sebagai YDP PSSGM PP. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Adiwijaya YDP PSSGM (APS) dan YBhg. Guru Lama En. Ahmad Ismail.
LATARBELAKANG PSSG SPU, SPT DAN SPS
Persatuan Seni Silat
Gayong daerah Seberang Perai Utara, Persatuan
Seni Silat Gayong daerah Seberang Perai Tengah dan Persatuan Seni Silat Gayong
daerah Seberang Perai Selatan telah ditubuh pada 2008 atau nama singkatnya PSSG
SPU, PSSG SPT dan PSSG SPS . Ketiga-tiga persatuan ini telah berdaftar dengan Pesuruhjaya
Sukan Malaysia pada tahun 2009, dengan nombor pendaftaran 2980/2009, 2981/2009
dan 2982/2009. Persatuan ini bernaung di bawah Pertubuhan Silat Seni Gayong
Malaysia dan merupakan ejen penggerak pengembangan Silat Seni Gayong Malaysia
bagi peringkat daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan.
No comments:
Post a Comment